Vaksin AIDS elak jangkitan ditemui

GAMBAR fail menunjukkan seorang pekerja makmal memeriksa tarikh vaksin AIDS di Institut Sains Perubatan Tentera Thailand di Bangkok.
BANGKOK - Sejenis vaksin eksperimen AIDS buat julung kali berjaya mengurangkan risiko jangkitan kepada manusia dan sekali gus mencipta sejarah setelah 25 tahun penyakit itu menjadi epidemik global.
Saintis-saintis dalam sidang media secara video di sini semalam berkata, keputusan ujian vaksin yang dijalankan itu menunjukkan ia menurunkan peluang dijangkiti sebanyak satu pertiga.
Penemuan secara mengejut itu dilakukan hasil ujikaji tentera Amerika Syarikat (AS) dan Kementerian Kesihatan Awam Thailand yang melibatkan 16,000 sukarelawan iaitu yang paling ramai di dunia.
Ia diperoleh selepas bertahun-tahun percubaan yang gagal menerusi program penyelidikan HIV tentera AS.
"Inilah kali pertama sejenis vaksin bagi melawan HIV berjaya ditemui," kata anggota program penyelidikan HIV tentera AS, Kolonel Jerome Kim.
Menteri Kesihatan Awam Thai, Witthaya Kaewparadai berkata, penemuan kajian itu ialah satu sejarah saintifik dan ia memberi harapan kepada vaksin efektif pada masa depan.
Vaksin itu merupakan kombinasi dua jenis ubat lama yang mengurangkan jangkitan secara persendirian dan penyelidik giat mengkaji kenapa dua bahan itu boleh bekerjasama.
Ia menggabung vaksin cacar kenari ALVAC keluaran firma Sanofi-Aventis dari Perancis dan AIDSVAX yang asalnya firma VaxGen Inc. kini dilesen kepada sebuah badan amal global.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Program Bersama Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai HIV/AIDS mengucapkan tahniah kepada pasukan penyelidik tersebut. - AFP